Doa
ini kupanjatkan sempena genap 34 tahun kelahiranku di dunia ini...
Terima
kasih Ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan. Terima kasih juga untuk
setiap rezeki yang Engkau kurniakan. Terima kasih untuk setiap cubaan yang
Engkau turunkan.Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan.
Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku… Dan terlalu
sedikit pengabdianku terhadapMu.
Engkau tetap menerima walau
terkadang aku alpa, aku lupa, aku tersilap dan khilaf menafsir makna setiap
kurniaan dan dugaan. Namun begitu besar kasihMu… Engkau tetap melindungi aku
walaupun terkadang aku kalut merungut ketika saat-saat lemahku datang. Aku
tidak pernah menafikan hakMu walaupun terkadang aku terbuai dengan kesedihan
dan kesakitan yang amat pedih.
Ampunkan aku Ya Allah pabila aku
merintih nasibku di hadapanMu. Kalau bukan kepadaMu, kepada siapa lagi harus ku
mengadu? Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini Ya Allah… Namun aku
hanyalah hambaMu yg dhaif dan lemah. Adakalanya aku kurang kesabaran. Ada
masanya aku goyah keimanan. Ada masanya aku hampir terikut bisikan syaitan.
Namun dengan limpahan kasih sayangMu, Engkau menarikku kembali jauh daripada
kesesatan.
Dalam usia begini… Aku ingin
menjadi lebih dekat padaMu. Dalam usia yang makin jauh ini… Aku ingin lebih
merinduiMu. Dalam usia meniti senja ini… Aku ingin sekali menyambut panggilan
KaabahMu. Dalam usia ini yang ku inginkan hanyalah ketenangan, kekusyukan
beribadah, segala kesederhanaan dan kerendahan hati tanpa berhenti menghulur
kasih pada yang sudi.
Ya Allah… Pimpinlah tangan
hambaMu ini… Pimpinlah hati hambaMu ini… Pimpinlah langkah hambaMu ini akan
sentiasa berpijak di atas jalan kebenaran.
Ya Allah… Sebagai hambaMu yang hina dina, aku takkan mungkin mencapai
sempurna, tapi kasihanilah aku… bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti
titian siratulmustakimMu dengan tenang dan mudah tanpa cela.
Ya Allah… Berikanlah ilham kepadaku agar aku mampu terus berkarya. Agar aku terus mampu memberikan sedikit ikhtibar dan dakwah dengan caraku. Hulurkan kepadaku bijaksana agar aku mampu terus memacu kalam keinsanan sehingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi.
Ya Allah… Berikanlah ilham kepadaku agar aku mampu terus berkarya. Agar aku terus mampu memberikan sedikit ikhtibar dan dakwah dengan caraku. Hulurkan kepadaku bijaksana agar aku mampu terus memacu kalam keinsanan sehingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi.
Terima kasih Ya Allah atas segala
takdir yang telah Engkau tentukan untukku. Engkaulah Ya Maha Besar… Peliharalah
aku ini agar terus berpegang teguh pada taliMu.
Terimalah permohonan hambaMu yang sedang bermusafir di bumiMu ini Ya Allah...
Amin2 Ya Rabbal Alamin.
No comments:
Post a Comment