Andai dia pergi dulu sebelummu, sapulah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih
hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu
fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan
pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doaku. Kau tunggu di sana, pasti
aku akan menyusul nanti!
Andai dia pergi dulu sebelummu, tanyakan pada hatimu yang sebati dengan hatinya, apa yang
dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir
melampaui kesedihan. Anak-anakmu punya masa depan. Di tanganmu segala cita-cita
dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tegar
mengecewakan?
Andai dia pergi dulu sebelummu, katakan pada diri, akanku galas amanah ini. Sekiranya
terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas diragut sendu.
Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang
soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di
jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir
selamanya..
Andai dia pergi dulu sebelummu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir
pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah. Kini kita berpisah untuk
bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah,
Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih
untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi –
tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!
Andai dia pergi dulu sebelummu, sibuklah dirimu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk
merasa sedih. Gembirakanlah hatimu dengan menggembirakan orang lain. Carilah
peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang
tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya
solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa
gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.
Andai dia pergi dulu sebelummu, bisikan ke dalam hatimu yang paling dalam. Dia bukan
milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah
yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai
masanya terpaksa diserah. Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada
rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan pada ku
sentiasa ada pemerhati.
Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia
yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan
dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah
“pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita
sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang
paling derita.
Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan,
belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang
yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam
rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian,
ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan
kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya. Tinggallah dia
dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.
Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah
SAW ditinggalkan lagi. Abdul Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu
didambakan. Sedangkan sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri
tersayangnya Siti khadijah… Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!
Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal
semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di
hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu
Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip
dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika menyusu.
Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan
Husin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk
memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi,
baginda telah tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda
hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan
besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin di
Karbala.
Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang
tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi
meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika
baginda terbaring di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala
minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan… ketika itulah baginda menyebut,
“rafiqil a’la, rafiqil a’la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!”
Dalam “kamus” kehidupan para muqarabin (orang yang
hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat
menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki
dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya
dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami
manusia biasa.
Namun begitu, di saat sakarat yang begitu hebat,
masih sempat baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau
bukan untuk kita… umat yang akan ditinggalkannya.
Semua orang mengakui hakikat bahawa mati itu datang
tiba-tiba. Tetapi aneh, manusia yang pasti mati itu terus hidup sambil lewa.
Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW
tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan oleh pembantunya, Anas bin
Malik dengan pengisahannya:
“Aku
telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda
berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?” Tidak pernah
pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: “Mengapa engkau tidak
kerjakan?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: “Mengapa ada pula
barang ini?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:”Alangkah
baiknya kalau barang itu ada.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan
ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa
yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!”
Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba
mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita
akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia
ini. Kunci kata itu tepat dan padat – ana abdullahi walan yudhi’ani – aku
hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!”
Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW
tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan oleh pembantunya, Anas bin
Malik dengan pengisahannya:
“Aku
telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda
berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?” Tidak pernah
pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: “Mengapa engkau tidak
kerjakan?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: “Mengapa ada pula
barang ini?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:”Alangkah
baiknya kalau barang itu ada.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan
ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa
yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!”
Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba
mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita
akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia
ini. Kunci kata itu tepat dan padat – ana abdullahi walan yudhi’ani – aku
hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!”
No comments:
Post a Comment