Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai
gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus.
Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan
mempersilakannya duduk.
Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya,
mulutnya tidak
berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan
harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak
berat.
“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.
Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut.
Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.
“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara,
manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di
sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si
penggunting rambut.
“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes
bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!”
sambungnya lagi menyatakan kekesalan.
“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau
melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.
“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan
semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting
rambut yang umurnya 40-an itu.
Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan
rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting
melihat ke luar tingkap.
“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan
pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.
“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut
bertanya kembali.
“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak
senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju
tak?” Lelaki itu meminta pandangan.
“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut
mengiyakan sambil mengangguk.
“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut
tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si
penggunting rambut.
“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si
penggunting rambut menafikan.
“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut
panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya
kembali.
“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau
mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi
elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si
penggunting rambut.
“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa
encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya
peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia
itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua
tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.
Si penggunting rambut mendengar dengan teliti
sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.
“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan.
Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA
iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri.
Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia
mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan
sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari
lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan
rambut saya, hehe…”
“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya
semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil
bertanya.
“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan
encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe.
Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya”
Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut
tertawa juga.
* Tuhan itu ada. DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha
Esa. DIA lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung harap. ALLAH tidak
beranak dan tidak diperanakkan. Dan DIA tidak sama dengan mana-mana satu pun.