AKU REDHA, ANDAI INI TAKDIRNYA UNTUKKU....



Tuesday 11 September 2012

~ RaSa ItU Ku BiArKaN SePi... ~


Dah lama aku tak meluah ‘merantau’ isi hati ini. Kalau tak disebabkan kesunyian yang teramat sangat mungkin aku masih mengabaikannya atau aku langsung melupakannya. Kadang-kadang kehendak dan impian yang begitu mudah pun perlukan penggalak dan pemangkin untuk merealisasikannya. Terlalu banyak halangan dan kekurangan yang diambil kira sehingga tanpa disedari ianya terabai di situ.

Permulaan kehidupan yang agak baik tetapi di tengah perjalanan aku diuji dengan berita yang menggugat kekuatan diri. Aku hampir putus asa apabila aku gagal mendapatkan sokongan. Dan semenjak detik itu, keadaan aku makin meruncing dengan pelbagai peristiwa yang menjeruk rasa dan mengocak jiwa.

Aku terasa ingin menokhtahkan semuanya. Dalam masa yang sama, aku lemas 'dijaga' sebegitu rupa juga terdera dengan ‘analisis’ kelemahan dan kegagalan diri sendiri sedangkan pada ketika itu yang aku amat perlukan ialah udara untuk terus bernafas. Dek kerana lemas dan tidak mampu mengawal diri, jasad aku yang menjadi mangsa. Namun aku tidak sesekali menyalahkan sesiapa atas apa yang terjadi. Aku tidak ingin mengungkit apa-apa.

Aku sebenarnya boleh menerima setiap yang diperkata dan diperlakukankan kerana lewat beberapa tahun ini, kata-kata sedemikian menjadi salah satu suntikan semangat yang menguatkan aku untuk meneruskan perjalanan hidup. Kata-kata itu kadang kala kedengaran agak keras tetapi mampu membuat aku melihat kehidupan ini dari sudut yang berbeza. Cuma, ada masanya aku perlukan pengertian lebih daripada segala-galanya. Pengertian yang sering disalahertikan sebagai aku mahukan perhatian.

Berkali-kali aku jatuh dan bangun semula. Aku sering merasakan aku tak mampu bangun semula hanya kerana aku kecewa dengan manusia di sekeliling aku. Aku kunjungi pusara itu buat kesekian kalinya. Aku luahkan semua yang terpendam. Tiada suara memujuk atau tangan yang membelai tetapi aku rasa puas kerana saat itu aku hanya perlukan telinga untuk mendengar walaupun yang mendengar itu hanyalah sepasang nisan kaku. 

Kemudian, aku teruskan langkah mengunjungi mereka yang memerlukan aku. Di sini aku bukan sahaja rasa diperlukan tetapi bersama mereka mengingatkan aku tentang deklarasi yang sejak beberapa hari lalu terabai. Bersama mereka juga mengingatkan aku tentang impian aku untuk dunia ini..

Dua “A” yang ada dulu dan kini di hadapan mataku sekarang adalah antara platform untuk aku merealisasikan impian aku. Dua 'method' yang berbeza tetapi ada beberapa persamaan. Kedua-duanya punya ‘mechanic’ tersendiri. Apa pun pilihan aku, setiap daripadanya ada harga yang perlu dibayar.

Hari ini, aku di sini melakar satu lagi warna pada kanvas kehidupan. Rajuk masih bersisa. Hati masih terusik. Tetapi rasa itu kubiar sepi kerana tidak ada yang mengerti. Sampai masanya, rajuk dan hati ini akan terubat sendiri. Perjalanan hidup perlu diteruskan dan masih banyak impian yang menunggu masa untuk direalisasikan… Insya Allah....

No comments:

Post a Comment